KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menaikkan gaji hakim sehingga 30 peratus berkuat kuasa 1 Januari 2026, dalam usaha menghargai peranan badan kehakiman serta memperkukuh integriti dan kebebasan institusi tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini berkata, kali terakhir gaji hakim dinaikkan adalah pada tahun 2015, dan sejak itu mereka tidak menerima kenaikan gaji tahunan seperti skim perkhidmatan lain.
“Selain tidak menikmati kenaikan tahunan, hakim juga tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan atau terlibat dalam perniagaan. Atas kesedaran ini, dan melihat kepada kemajuan badan kehakiman yang kini lebih berwibawa, berintegriti dan bebas, kerajaan bersetuju menaikkan gaji hakim sehingga 30 peratus mulai 1 Januari 2026,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa keputusan itu bukan semata-mata soal imbuhan, tetapi tanda pengiktirafan terhadap maruah institusi kehakiman yang memainkan peranan penting dalam menegakkan keadilan dan menjamin keutuhan negara hukum.
“Badan kehakiman kita pernah dianggap tercalar, namun kini kita boleh berbangga kerana ia telah bergerak ke arah lebih wibawa dan bebas,” katanya.
Kenaikan ini, menurut beliau, juga seiring dengan komitmen kerajaan Madani untuk memperkukuh institusi negara melalui tatakelola yang baik serta memastikan setiap cabang pentadbiran, eksekutif, legislatif dan kehakiman, dapat berfungsi secara bebas dan berintegriti.
Baca juga: