PAPAR: Masalah gangguan bekalan air yang berlarutan di Mukim Kinarut dan Kawang dijangka berakhir tidak lama lagi apabila kerja-kerja penyambungan silang rangkaian paip dari tangki utama P1 Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon ke tangki utama P3 di Kawang siap sepenuhnya pada 24 Januari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah mitigasi segera itu diputuskan dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri pada 8 Januari lalu, susulan gangguan bekalan sejak penghujung Disember 2025.
Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, penyambungan silang itu akan meningkatkan kapasiti rawatan air di LRA Kogopon sebanyak kira-kira 10 peratus, bersamaan tambahan 3.5 hingga 4 juta liter sehari (JLH), sehingga projek naik taraf LRA Kogopon 2 siap.
“Bekalan tambahan ini akan disalurkan terus dari P1 ke P3 untuk menampung keperluan kritikal di Kinarut dan Kawang, selain memendekkan jarak pembekalan daripada 33 kilometer kepada 10.3 kilometer.
“Kerja-kerja lapangan melibatkan penyambungan paip, penggantian injap dan pam air yang dijalankan 24 jam sehari sejak 9 Januari lalu, bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.
Namun, Armizan berkata, proses penggantian injap memerlukan penutupan sementara loji selama kira-kira 10 jam bermula lewat malam 20 Januari ini, yang dijangka memberi kesan kepada beberapa kawasan di daerah Papar.
“Bagaimanapun, proses penggantian injap memerlukan penutupan sementara loji selama kira-kira 10 jam bermula lewat malam 20 Januari ini, yang dijangka memberi kesan kepada beberapa kawasan di daerah Papar,” katanya.
Tambah beliau, notis rasmi mengenai gangguan sementara itu akan dikeluarkan oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dalam masa terdekat.
“Langkah mitigasi itu diharap dapat mengurangkan isu catuan air di kawasan terjejas sehingga penyelesaian jangka panjang dicapai dengan siapnya LRA Kogopon 2 pada suku keempat 2026,” ujarnya.








