SAN FRANCISCO: Gangguan rangkaian Cloudflare pada malam Selasa menyebabkan sejumlah besar laman web dan perkhidmatan digital di seluruh dunia mengalami ralat pelayan, termasuk mesej “Internal Server Error” dengan kod 500.
Insiden itu dikesan bermula sekitar 7.20 malam waktu Malaysia apabila Cloudflare melaporkan peningkatan trafik luar biasa pada rangkaiannya.
Cloudflare dalam kenyataan memaklumkan mereka menyedari isu tersebut yang memberi kesan kepada ramai pelanggan global, melibatkan kegagalan mengakses Cloudflare Dashboard, API dan beberapa fungsi rangkaian utama.
“Kami memohon maaf kepada pelanggan kerana gangguan internet hari ini (Selasa),” kata kenyataan tersebut.
Syarikat itu menjelaskan bahawa perkhidmatan sedang dipulihkan secara berperingkat, namun pengguna mungkin terus mengalami kadar ralat lebih tinggi berbanding biasa sepanjang proses baik pulih berlangsung.
Menurut Cloudflare, pasukan teknikal mereka melaksanakan pembetulan pada jam 10.42 malam waktu Malaysia dan percaya punca utama gangguan telah dikenal pasti serta diselesaikan. Bagaimanapun, pemantauan masih diteruskan bagi memastikan semua perkhidmatan kembali stabil sepenuhnya.
Gangguan itu turut memberi kesan kepada platform sosial X (dahulu Twitter) apabila ramai pengguna melaporkan kegagalan memuat semula kandungan di aplikasi dan laman web. Beberapa portal berita antarabangsa dan tempatan juga tidak dapat diakses buat sementara waktu.
Cloudflare merupakan penyedia perkhidmatan rangkaian global yang digunakan secara meluas untuk keselamatan siber, penghantaran kandungan (CDN) dan perlindungan serangan DDoS. Kerosakan pada rangkaian syarikat itu lazimnya mengakibatkan gangguan besar pada pelbagai perkhidmatan Internet.
Setakat laporan ini diterbitkan, Cloudflare masih menjalankan siasatan terperinci punca gangguan sambil memberi jaminan pemulihan penuh akan dilaksanakan secepat mungkin.
Baca juga:








