PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan bahawa gangguan sementara terhadap kualiti rangkaian mudah alih yang berlaku pada 1 November lalu di Bandar Sibu berpunca daripada insiden bekalan elektrik terputus dalam tempoh panjang di salah satu menara telekomunikasi utama di kawasan Sri Aman.
Dalam satu kenyataan media, MCMC memaklumkan bahawa pihaknya telah mengambil maklum berhubung aduan awam serta isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling, dalam sesi Parlimen baru-baru ini berkenaan mutu perkhidmatan komunikasi mudah alih di sekitar kawasan bandar Sibu, Sarawak.
Susulan itu, MCMC telah menjalankan ujian liputan rangkaian di beberapa lokasi tumpuan termasuk di Jalan Pulau, Jalan Merdeka dan kawasan Sungai Bidut, Sibu bagi menilai tahap prestasi semasa.
“Hasil penilaian mendapati prestasi rangkaian mudah alih di kawasan yang diuji adalah baik dan stabil dengan kadar muat turun dan muat naik berada pada tahap memuaskan bagi semua penyedia perkhidmatan utama,” katanya.
Menurut MCMC, gangguan tersebut telah menjejaskan sambungan antara menara di kawasan bahagian tengah hingga utara Sarawak termasuk di bandar Sibu, namun langkah pemulihan telah dilaksanakan dengan segera.
“Perkhidmatan rangkaian dipulihkan secara berperingkat mulai jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang hari yang sama,” ujarnya.
Sepanjang tahun ini, MCMC telah melaksanakan sebanyak 61 audit rangkaian di daerah Sibu dan mengeluarkan 16 notis penambahbaikan kepada penyedia perkhidmatan yang didapati tidak memenuhi piawaian prestasi yang ditetapkan.
“Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan MCMC untuk memastikan kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan komunikasi kekal pada tahap optimum,” kata kenyataan itu.








