Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Seorang profesor Universiti Malaya (UM) yang didakwa berkongsi gambar bogel dirinya dengan pelajar dan melakukan gangguan seksual telah ditahan kerja.
Universiti Malaya (UM) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, tindakan itu diambil mengikut Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000.
“UM akan terus memastikan persekitaran kampusnya selamat dan kondusif termasuklah dengan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan salah laku tanpa mengira jawatan atau status,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, UM mengesahkan menerima laporan mengenai dakwaan itu tetapi tidak dapat mengulas kerana kes dirujuk kepada pihak berkuasa untuk siasatan.
Gambar bogel yang didakwa dikongsi profesor itu dikatakan dipaparkan di sekitar kampus UM untuk memberi amaran kepada pelajar, tetapi segera diturunkan.
Terdahulu, sebuah kumpulan pelajar UM menggesa mangsa yang mendakwa diganggu agar membuat laporan polis supaya siasatan dapat dimulakan.

Sabtu lepas, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengarahkan UM untuk melaksanakan siasatan segera terhadap dua dakwaan gangguan seksual yang mencemarkan nama baik universiti itu.
Zambry berkata, arahan juga dikeluarkan supaya UM tidak mengambil ringan kes tersebut bagi menegakkan keadilan selain menegaskan kementeriannya sama sekali tidak bertolak ansur dengan salah laku yang bertentangan undang-undang negara.
Baca juga: