PETALING JAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri menyeru masyarakat untuk bersatu dalam memerangi gangguan seksual yang mencemarkan maruah dan mengancam keselamatan individu.
Beliau menggesa agar semua pihak agar berani bersuara dan bertindak apabila berdepan atau menyaksikan sebarang bentuk gangguan seksual.
Tegas beliau, langkah itu amat penting untuk memastikan persekitaran yang lebih selamat dan bermaruah khususnya bagi melindungi wanita dan kanak-kanak.
“Saya mengajak wanita, lelaki, ibu bapa, pendidik dan rakan sekerja untuk bersama-sama membina persekitaran yang lebih selamat dan bermaruah dengan berani bersuara apabila berdepan atau menyaksikan sebarang bentuk gangguan seksual khususnya dalam usaha melindungi kanak-kanak dan wanita.
“Pada masa yang sama, saya komited untuk memperkasa keadilan melalui pelaksanaan penuh Tribunal di bawah Akta Gangguan Seksual,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Nancy juga memberikan pandangan berhubung insiden gangguan seksual yang melibatkan seorang pemandu e-hailing dan remaja perempuan berusia 15 tahun.
Dalam video yang tular, pemandu terbabit didakwa meminta mangsa membuka tudung semasa perjalanan pulang ke rumah.
Mengulas tindakan bapa mangsa yang menggesa pelaku ke balai polis untuk membuat laporan, beliau memuji keberanian itu sebagai contoh kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap isu ini.
“Tindakan itu mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap isu gangguan seksual yang tidak boleh dipandang ringan.
“Saya difahamkan bahawa kes ini kini berada di bawah siasatan pihak polis.
“Apabila berlaku kes gangguan seksual, masyarakat meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pihak polis untuk bertindak dengan adil dan segera,” tambah Nancy.