Gangguan Sistem Semboyan Jejas Laluan Kelana Jaya

KUALA LUMPUR: Ribuan pengguna Laluan Kelana Jaya berdepan kesulitan pagi ini apabila sistem semboyan mengalami gangguan di antara Stesen Gombak dan Stesen Ampang Park.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan media segera memaklumkan bahawa perkhidmatan tren dari Stesen Gombak ke Stesen KLCC terpaksa digantung buat sementara waktu.

“Perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara ulang alik percuma disediakan bagi menghubungkan stesen-stesen terjejas.

“Penumpang disarankan untuk mendapatkan pengangkutan alternatif lain dan merujuk pada laman media sosial Rapid KL untuk status terkini perkhidmatan,” kata kenyataan itu.

Bagi mengurangkan kesan gangguan, Rapid Rail telah mengaktifkan tren alternatif dari Putra Heights yang berpatah balik di Stesen Pasar Seni dengan kekerapan enam minit.

Selain itu, tren ulang-alik turut beroperasi antara Stesen Pasar Seni dan KLCC dengan kekerapan 20 minit.

Untuk meliputi kawasan yang lebih luas, bas perantara percuma disediakan bagi menghubungkan stesen-stesen utama termasuk Gombak, Taman Melati, Wangsa Maju, Sri Rampai, Setiawangsa, Jelatek, Dato Keramat, Damai, Ampang Park dan KLCC.

Kekerapan bas itu dijangka antara 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa.

Pasukan kejuruteraan Rapid Rail kini giat menjalankan kerja baik pulih di lokasi kejadian bagi mengembalikan operasi normal secepat mungkin.

Namun, penumpang dijangka mengalami waktu menunggu lebih lama di platform khususnya antara KLCC hingga Pasar Seni.

Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan, anggota polis bantuan serta petugas stesen ditempatkan di ruang legar dan platform untuk membantu penumpang.

Di beberapa stesen, pengumuman berkala turut dibuat bagi memaklumkan jadual perjalanan terkini.

“Penumpang disarankan untuk mendapatkan pengangkutan alternatif lain bagi meneruskan perjalanan ke destinasi,” katanya.

Anda Mungkin Berminat