TAWAU: Masalah gangguan perkhidmatan telekomunikasi di Kampung Kuala Merotai, Tawau yang berpunca daripada gangguan bekalan elektrik berjaya diselesaikan oleh pihak penyedia perkhidmatan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau sendiri meninjau pengoperasian Menara JENDELA di kawasan berkenaan selepas menerima aduan daripada penduduk setempat.
“Alhamdulillah, aduan telah diselesaikan dan liputan berjaya dipulihkan. Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan maklumat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Menurut Fahmi, bagi mengelakkan insiden berulang, penyedia perkhidmatan diarahkan menyediakan kuasa sokongan seperti generator (genset) serta menambah kapasiti bateri sehingga mampu membekalkan kuasa selama lapan jam.
Menara JENDELA di Kampung Kuala Merotai mula beroperasi pada 27 September 2024 menggunakan teknologi 4-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) dengan perkongsian perkhidmatan oleh CelcomDigi, Maxis dan U Mobile, manakala pengurusannya dikendalikan syarikat Redtone.
“Hasil ujian menggunakan aplikasi MCMC NEXUS mendapati menara ini menawarkan kelajuan sekitar 50Mbps bagi perkhidmatan 4G dan memanfaatkan kira-kira 1,200 penduduk,” katanya.
Beliau menegaskan, langkah itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman, terus menikmati liputan telekomunikasi yang stabil dan berkualiti.
Baca juga:








