TULAR di media sosial perkongsian Pengerusi Darul Tauhid Malaysia, Abu Humayd Sufri Mahmud yang mendedahkan rumah stafnya antara 10 kediaman disimbah cat merah gara-gara hutang jiran kepada ahlong.
Menurutnya, kejadian awal pagi tadi itu berlaku walaupun staf terbabit tidak pernah membuat pinjaman.
“Staf saya tak pernah pinjam ahlong. Tapi jiran dia yang berhutang. Malangnya, bukan rumah peminjam saja yang kena, sampai 10 rumah jiran lain turut jadi mangsa,” tulisnya di Thread.
Perkongsian itu menimbulkan rasa marah dalam kalangan warganet yang menyifatkan tindakan ahlong semakin berani.
“Kegiatan ahlong dah semakin melampau. Rumah jiran yang tak ada kena-mengena pun mereka kacau. Ini amat tidak wajar,” katanya lagi.
Beliau memaklumkan laporan polis sudah dibuat dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas agar kejadian sama tidak berulang.
Dalam ruang komen, seorang pengguna bernama @aziraasd turut berkongsi pengalaman hampir sama apabila dirinya diganggu ahlong selepas membuat laporan polis.
“Buat laporan polis pun macam tak function. Saya tak berhutang. Ahlong kacau WhatsApp suami atas hutang orang lain. Saya pergi buat report. Tiba-tiba ahlong dapat nombor saya dan ugut saya pulak sebab saya yang report.
“Persoalannya macam mana ahlong tu tahu saya report dan mana dia dapat nombor saya. Sedangkan sebelum report dia tak ada pun contact saya,” tulisnya di ruangan komen.