Gaza dan tarif, kita doa dan harap rundingan ini selesai cara baik – Anwar

PARLIMEN | Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berganjak daripada pendiriannya dalam isu Gaza walaupun berdepan tekanan ekonomi dari Amerika Syarikat.

Menurut beliau, rundingan mengenai tarif import oleh Amerika terhadap barangan Malaysia, khususnya sektor elektrik dan elektronik (E&E), masih berjalan dan belum dimuktamadkan.

“Keputusan Amerika itu tidak adil. Ia bersifat unilateral dan bercanggah dengan prinsip WTO serta perjanjian antarabangsa,” katanya ketika menjawab soalan daripada ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat pada Selasa.

Malaysia antara negara yang berisiko dikenakan tarif tinggi, susulan kelantangannya menyokong Palestin dan menjalin hubungan baik dengan negara seperti Iran serta anggota BRICS.

“Kita lihat contoh Brazil. Presiden Lula yang lantang menyuarakan isu Gaza turut dikenakan tarif 50 peratus oleh Amerika. Tetapi itu tidak akan mengubah pendirian Malaysia,” tambah Anwar.

Perdana Menteri turut mendedahkan bahawa 60 peratus pengeluaran sektor (E&E) Malaysia dieksport ke AS, manakala Malaysia pula menyumbang sekitar 25 peratus daripada keperluan (E&E) Amerika.

“Kita doa dan harap rundingan ini selesai secara baik. Tapi pendirian kita tetap bahawa kita sebuah negara berdaulat,” tegas beliau.

Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan tarif import sebanyak 25 peratus akan dikenakan terhadap Malaysia bermula 1 Ogos ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat