NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyifatkan Gaza kini sebagai “medan pembunuhan” berikutan tindakan Israel yang berterusan menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah tersebut.
“Lebih sebulan telah berlalu tanpa setitis pun bantuan sampai ke Gaza. Tiada makanan. Tiada bahan api. Tiada ubat-ubatan. Tiada bekalan komersial. Ketika bantuan terhenti, gelombang kengerian kembali melanda,” kata Guterres kepada media di ibu pejabat PBB di New York, memetik laporan France 24.
Beliau turut merujuk kepada Konvensyen Geneva yang mengatur layanan terhadap penduduk dalam situasi perang, dengan menekankan bahawa kuasa yang menduduki sesebuah wilayah mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bekalan makanan dan perubatan disediakan kepada penduduk awam.
“Tiada satu pun daripada kewajipan itu dipenuhi hari ini. Tiada bekalan kemanusiaan yang boleh memasuki Gaza,” tegasnya.

Bagaimanapun, kenyataan itu dinafikan oleh seorang pegawai Israel yang menegaskan bahawa tiada kekurangan bekalan bantuan di Gaza.
Jurucakap Kementerian Luar Israel, Oren Marmorstein, menolak tuduhan tersebut dan berkata bahawa tiada kekurangan bantuan kemanusiaan di Gaza.
Beliau mendakwa bahawa Hamas telah menyalahgunakan bantuan terkini untuk “membina semula jentera perangnya”.
Beliau menegaskan bahawa PBB tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang susunan yang tidak menghormati prinsip-prinsip kemanusiaan sepenuhnya, termasuk kemanusiaan, tidak berpihak, kebebasan, dan berkecuali.
Guterres juga menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan di Tebing Barat yang diduduki, sambil memberi amaran bahawa situasi di sana mungkin berubah menjadi seburuk Gaza.
Baca juga: