Gelagat atuk bawa ‘sekandang’ unta dari Makkah cuit hati netizen

Oleh: Tyah Helmi

TELATAH seorang warga emas yang pulang dari bumi haram Tanah Suci Makkah selepas menunaikan ibadah haji bersama isterinya telah mencuit hati orang ramai apabila tiba di balai ketibaan di lapangan terbang Kuala Lumpur (KLIA) 1 baru-baru ini.

Bukan sahaja orang awam di sekitar itu yang tertawa dan geli hati dengan tindakan comel pakcik terbabit, pengguna media sosial juga merasai hal yang sama apabila tularnya video berkenaan.

Video atuk yang membawa lebih 10 ekor patung lembut unta yang digantung pada beg sandangnya menarik perhatian ramai orang.

“Pergi haji kemudian bawa balik satu kandang unta untuk cucu. Atuk buat apa ini? Terperanjat kami,” tulis perakam video tersebut dalam nada berseloroh menerusi ruangan kapsyen.

Rata-rata netizen turut terhibur dengan keletah spontan warga emas itu yang disifatkan sebagai comel dan penyayang, selain menunjukkan kasih sayangnya terhadap cucu-cucu tersayang.

Video berdurasi beberapa saat itu bukan sahaja mencatat ribuan tontonan, malah dibanjiri komen netizen yang memuji usaha datuk berkenaan membawa pulang ‘buah tangan’ unik dari Tanah Suci.

“Ada gaya jemaah haji paling sporting tahun ini,” hantaran ciapan dari seorang pengguna TikTok.

Gelagat menghiburkan ini sekali gus menyerlahkan suasana mesra dan penuh kasih sayang dalam menyambut kepulangan para jemaah haji ke tanah air.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat