Gelanggang Paintball Indera Mahkota Jaya Hidupkan Semangat Komuniti Sejati MADANI

KUANTAN: Penduduk Indera Mahkota 2 kini mempunyai satu lagi ruang riadah baharu dengan perasmian Gelanggang Paintball yang dibangunkan hasil inisiatif Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Indera Mahkota Jaya menerusi program Sejati MADANI.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang memuji semangat dan keaktifan JPKK kawasan berkenaan dalam memperkasa aktiviti komuniti setempat.

“Saya cukup berbangga dengan JPKK Indera Mahkota Jaya yang sangat proaktif dalam mencari jalan untuk merancakkan aktiviti penduduk. Inisiatif seperti ini bukan sahaja menghidupkan kawasan, tapi mengeratkan hubungan sesama komuniti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Menurutnya, kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa terbuka terhadap projek yang digerakkan penduduk setempat seperti ini.

“Bagi tahun lepas sahaja, kerajaan telah memperuntukkan RM1 bilion bagi memperkasa inisiatif rakyat melalui program Sejati MADANI. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk memohon tahun hadapan,” ujarnya.

Turut hadir, Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pahang, Datuk Hamdan Hussin yang memainkan peranan penting dalam memudahcarakan pelaksanaan projek berkenaan, selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang yang turut memberi sokongan.

Pembukaan gelanggang paintball itu bukan sekadar menambah kemudahan riadah, malah diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak program komuniti di bawah agenda Sejati MADANI.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat