Gelar ‘kafir harbi’, pemimpin DAP lapor polis

KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP hari ini membuat laporan polis berkaitan satu ucapan politik yang mendakwa DAP sebagai kafir harbi.

Menurut Ahli Jawatankuasa CEC DAP, Young Syefura Othman, satu laporan telah dibuat bersama Sheikh Umar Bagharib Ali dan Syahredzan Johan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Katanya, kenyataan seumpama itu satu tindakan politik dengan penyalahgunaan istilah yang sering digunakan oleh pihak tertentu untuk kepentingan peribadi mereka.

“Mengikut pemahaman saya istilah kafir harbi merujuk kepada orang kafir yang memusuhi Islam dan golongan ini halal darahnya diperangi oleh umat Islam.

“Ini merupakan tindakan yang keterlaluan serta tidak bertanggungjawab daripada individu-individu tersebut dan ianya boleh mengancam keselamatan dan menganggu-gugat keharmonian di negara kita ini,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Syefura, laporan itu dibuat dengan harapan tindakan segera dan tegas dapat diambil oleh pihak berkuasa untuk menangani isu ini demi menjaga keharmonian dan perpaduan negara.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini dan kami berharap pihak polis dapat mengambil tindakan tegas keatas mereka dan ini boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat di luar sana,” katanya.

Terdahulu, tular video rakaman ceramah yang mendapati seorang individu yang merupakan anggota PAS Bachok telah mendakwa DAP sebagai kafir harbi dan merancang menguasai Malaysia dengan bantuan sebahagian pemimpin UMNO.

Difahamkan ceramah berkenaan turut dihadiri Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dan Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.

Anda Mungkin Berminat