Gelar PM penakut, helah murahan Armada Bersatu – AMK

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mengecam keras dakwaan pimpinan Armada Bersatu yang menggambarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penakut untuk membubarkan semula Parlimen.

Ketua Penerangannya, Danish Hairudin menyifatkannya tindakan yang tidak cerdik malah melihat parti Bersatu kian panik dan makin hilang relevan malah ketandusan hala tuju.

“Ironinya, parti yang hari ini paling lantang bercakap soal keberanian politik ialah parti yang menjatuhkan kerajaan sendiri, mengkhianati mandat rakyat dan meninggalkan negara dalam keadaan ekonomi yang porak-peranda.

“Kini, selepas gagal mentadbir, mereka cuba menjadi pengulas politik sambil berpura-pura lupa rekod buruk sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Danish Hairudin berkata, Armada Bersatu turut kuat memainkan sentimen dengan cubaan mengaitkan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Sabah (DUN) ke-17 yang kononnya kegagalan pemimpin nasional.

“Ianya satu helah murahan untuk menutup kegagalan Bersatu membina keyakinan rakyat, bukan sahaja di Sabah malah di seluruh negara.

“Apabila sokongan semakin merosot, maka naratif palsu dicipta untuk mengalih perhatian,” ujarnya.

Kata beliau, Kerajaan Madani kini mempunyai kayu ukur yang berbeza dengan kerajaan tebuk atap yang dipimpin Bersatu sebelum ini yang gagal mengawal ekonomi, menstabilkan politik malah gagal menjaga kebajikan rakyat.

“Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang membetulkan kerosakan yang ditinggalkan oleh mereka.

“Ekonomi hari ini berkembang secara konsisten, inflasi terkawal dan keyakinan pelabur kembali meningkat. Ini fakta, bukan persepsi,” ujarnya.

Dalam nada perlian, beliau berkata ketika Bersatu pernah mentadbir tanpa hala tuju fiskal, bergantung sepenuhnya kepada populisme dan meninggalkan defisit besar, kini kononnya mahu mengajar soal strategi pembubaran Parlimen.

“Mereka gagal mentadbir negara, tetapi berlagak sebagai pakar politik,” katanya.

Justeru katanya, keputusan Perdana Menteri untuk tidak membubarkan Parlimen secara sesuka hati
merupakan keputusan bertanggungjawab, demi kestabilan ekonomi dan kepentingan rakyat.

“Hanya pemimpin yang gagal mentadbir sahaja melihat pilihan raya sebagai alat menyelamatkan diri, bukannya amanah besar kepada negara,” ujarnya.

Dalam nada tegas beliau berkata, rakyat tidak akan pernah lupa sosok mana yang menyebabkan ketidaktentuan politik siapa yang mengkhianati mandat pilihan raya dan siapa yang menjadikan negara bahan eksperimen politik.

Sekali lagi beliau menegaskan, segala percubaan oleh Bersatu dalam mencipta persepsi negatif terhadap PM hanyalah jeritan panik sebuah parti yang semakin ditinggalkan rakyat..

“Saya mencabar Armada Bersatu supaya berhenti bermain skrip lama dan menjawab satu soalan mudah, apa sebenarnya pencapaian ekonomi Bersatu ketika memerintah negara?.

“Jika tiada, maka hentikan sandiwara politik dan beri laluan kepada kerajaan yang sedang bekerja.

Ujarnya lagi, Angkatan Muda Keadilan Malaysia akan terus mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani daripada serangan hipokrit, penuh dendam dan tidak berfakta.

“Rakyat hari ini lebih bijak.

“Fitnah mungkin kuat, tetapi rekod kegagalan Bersatu jauh lebih kuat,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat