Gemini AI tular, trend ‘Hug My Younger Self’ buat ramai kongsi momen penuh emosi

Oleh: Aliyaa Azmi

APLIKASI kecerdasan buatan (AI) Google, Gemini, kini mencuri perhatian apabila ciri penyuntingan foto baharunya digunakan secara meluas untuk menghasilkan gambar kenangan yang unik dan menyentuh hati.

Antara yang paling popular ialah trend “Hug My Younger Self”, di mana pengguna menggabungkan gambar mereka semasa kecil dengan versi dewasa, seolah-olah sedang memeluk diri sendiri. Hasil suntingan itu mencetuskan rasa sebak dalam kalangan netizen kerana penuh dengan nilai sentimental.

Ada juga yang menggunakan Gemini AI untuk mencipta potret keluarga klasik, gaya Polaroid retro, malah menjadikan gambar biasa kelihatan seperti lukisan seni atau poster filem.

Tidak terhad kepada kenangan peribadi, sesetengah pengguna turut memanfaatkan Gemini AI bagi tujuan profesional, antaranya menghasilkan potret korporat dengan latar pejabat moden yang sesuai untuk profil kerja di LinkedIn.

Antara contoh ‘prompt’ yang kini trending “Hug my younger self” iaitu gabungan gambar masa kecil dan dewasa, “Convert into a vintage family portrait with soft lighting” menjadikan gambar keluarga seakan potret lama. “Create a Polaroid-style photo with natural candid expressions” iaitu hasilkan gambar seolah-olah diambil kamera klasik.

Trend ini juga semakin menarik apabila ada pengguna berkongsi gambar suntingan bersama artis kegemaran mereka seperti Rosé dari BLACKPINK dan Jimin BTS, menjadikan hasil kreatif itu lebih istimewa serta tular di media sosial.

Fenomena ini membuktikan bagaimana teknologi AI kini bukan sahaja menjadi medium hiburan, tetapi juga cara untuk masyarakat menghidupkan kembali kenangan serta menzahirkan kreativiti masing-masing.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat