Gempa Bumi Di Johor, JMG Sahkan Pergerakan Sesar Aktif

PETALING JAYA: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mengesahkan bahawa gempa bumi bermagnitud 3.2 yang melanda Segamat, Johor berpunca daripada pergerakan sesar aktif di kawasan berkenaan, sekali gus menimbulkan keperluan mendesak untuk memperkukuh sistem pemantauan dan amaran awal.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gegaran berlaku pada pukul 8.59 pagi dengan pusat gempa terletak kira-kira 18 kilometer di selatan Segamat.

Ia turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor dan selatan Pahang.

“Analisis awal menunjukkan gempa bumi ini berpunca daripada pergerakan sesar mendatar sinistral dengan kedalaman cetek kira-kira 10 kilometer,” kata JMG dalam kenyataan.

Menurutnya, Malaysia berada di atas Plat Sunda yang secara relatifnya stabil, namun masih menerima tekanan dari sistem tektonik serantau khususnya Jalur Subduksi Sunda di barat Sumatera.

Kata JMG, tekanan itu berpotensi mengaktifkan semula sesar-sesar lama di Semenanjung Malaysia termasuk Sesar Mersing yang berorientasi barat-barat laut hingga timur tenggara.

“Pergerakan kerak bumi ini bukan berpunca daripada gunung berapi atau subduksi laut dalam,” jelas kenyataan itu.

Sejarah gempa bumi di Semenanjung Malaysia turut merekodkan gegaran kecil di beberapa lokasi seperti Bukit Tinggi, Pahang; Kenyir, Terengganu; Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Manjung-Temenggor, Perak.

Johor sendiri pernah mengalami gegaran pada tahun 2021 dan 2023, namun pusat gempa ketika itu terletak di luar pesisir berhampiran Sumatera.

JMG berkata, pemantauan berterusan, pemetaan semula sesar aktif dan pembangunan sistem amaran awal perlu diberi keutamaan bagi meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat serta melindungi infrastruktur kritikal.

Untuk rekod, JMG dan MetMalaysia di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) kini giat memperkasakan pemantauan saintifik serta analisis risiko gempa bumi di Malaysia termasuk ancaman seismik dari luar pesisir Sumatera.

Anda Mungkin Berminat