RUSIA: Satu gempa bumi berkekuatan magnitud 8.7 telah melanda perairan timur Rusia dan mencetuskan amaran tsunami serius melibatkan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Rusia, Jepun serta negara-negara Kepulauan Pasifik.
Menurut laporan The Guardian, Pusat Amaran Tsunami Kebangsaan telah mengeluarkan amaran dengan gelombang dijangka setinggi tiga meter bagi pantai barat AS, termasuk Kanada dan Alaska.
“Amaran itu meliputi kawasan dari sempadan California dengan Mexico, merentasi Oregon dan Washington hingga ke British Columbia di Kanada dan seterusnya ke Selatan Alaska dan Semenanjung Alaska,” katanya.
Sementara itu, Jepun telah mengarahkan pemindahan segera di beberapa kawasan berisiko apabila gelombang tsunami dilaporkan menghampiri pantai negara tersebut.
Menurut penyiar rasmi NHK, pihak berkuasa Jepun memberi amaran bahawa gelombang setinggi antara satu hingga tiga meter dijangka melanda.
“Tsunami dijangka berlaku berulang kali. Jangan masuk ke laut atau menghampiri pantai sehingga amaran ditarik balik,” kata Agensi Meteorologi Jepun menerusi aplikasi X.
Amaran tersebut kini meliputi kawasan pesisir timur Pasifik Jepun bermula dari pantai timur Hokkaido hingga ke Wilayah Wakayama.
Di Rusia, Reuters melaporkan ombak setinggi tiga hingga empat meter telah melanda beberapa kawasan di Kamchatka pada pagi waktu tempatan.
Pihak berkuasa kini menggesa penduduk untuk berpindah ke kawasan tinggi dan mengelak dari berada di pantai atau muara sungai.
“Ikut arahan rasmi sehingga semua amaran ditarik balik,” katanya.