PETALING JAYA: Kerajaan telah mengatur gerak Pasukan SMART (Special Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team) bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Myanmar.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan tersebut dijadualkan tiba di Yangon hari ini sekitar jam 1.00 tengah hari.
“Sebagai negara jiran yang prihatin dan rakan solidariti dalam komuniti ASEAN, Malaysia menzahirkan komitmen penuh dalam membantu negara-negara yang terjejas.
“Pada masa yang sama, misi bantuan kemanusiaan ke Thailand juga sedang diselaras dan akan digerakkan dalam masa terdekat.
“Kerajaan Malaysia, melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), kekal komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam pengurusan bencana, khususnya melalui penyediaan kepakaran, aset teknikal, dan sokongan logistik bagi meringankan penderitaan mangsa serta mempercepatkan proses pemulihan pasca bencana,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri juga menzahirkan rasa dukacita Malaysia terhadap insiden gempa bumi yang berpusat di Myanmar, yang turut memberi impak besar kepada Thailand.
“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Myanmar dan Thailand dalam menghadapi saat-saat sukar ini dan akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha bantuan kemanusiaan di rantau ini,” katanya lagi.
Gempa bumi dengan magnitud 7.7 melanda Myanmar pada Jumaat, menyebabkan kerosakan infrastruktur yang ketara dan mendorong kerajaan tentera Myanmar mengisytiharkan darurat.
Gegaran turut dirasai di bandar berdekatan, termasuk Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh City, mengakibatkan kemusnahan meluas serta mengorbankan lebih 140 orang, terutamanya di Myanmar.