Gempa Magnitud 7.3 Gegar Alaska, Amaran Tsunami Dikeluar

ALASKA: Perairan Alaska digegarkan oleh gempa bumi kuat berkekuatan 7.3 magnitud pada hari Rabu, mencetuskan kebimbangan meluas dan amaran tsunami sementara.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berlaku tepat pada pukul 12.37 tengah hari waktu tempatan (2037 GMT).

“Gempa bumi itu berlaku kira-kira 87 kilometer (km) di selatan bandar pulau Sand Point,” kata USGS.

Amaran tsunami dikeluarkan bagi pesisir Alaska Selatan dan Semenanjung Alaska, namun diturunkan kepada nasihat tsunami sebelum dibatalkan sepenuhnya beberapa jam kemudian.

Pihak berkuasa bertindak segera, menasihati penduduk untuk menjauhi pantai dan kawasan pelabuhan demi keselamatan.

Lebih 12 gegaran susulan turut dilaporkan, termasuk yang mencecah magnitud 5.2, menandakan aktiviti seismik masih berterusan.

Untuk info, Alaska terletak dalam zon geologi aktif dikenali sebagai Lingkaran Api Pasifik yang sering menyaksikan gempa dan letusan gunung berapi.

Peristiwa ini mengingatkan dunia kepada sejarah kelam 1964, apabila gempa magnitud 9.2 melanda negeri itu dengan rekod paling dahsyat di Amerika Utara.

Anda Mungkin Berminat