PETALING JAYA: Pengumuman perjanjian gencatan senjata di Gaza yang bakal berkuatkuasa pada hari Ahad ini mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, mangsa-mangsa di Palestin telah melalui konflik berkenaan dengan penuh kesengsaraan dan penderitaan.
Beliau berkata, ia memerlukan sokongan daripada masyarakat dunia untuk membina semula kehidupan mereka.
“Umat Islam diseru untuk terus menghulurkan bantuan kepada masyarakat Palestin sebagai tanda kesatuan hati dan jiwa.
“Marilah bersama-sama kita berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’ala agar masyarakat di Palestin terus diberikan keafiatan dan kesejahteraan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gencatan senjata itu mestilah menjadi batu loncatan ke arah menubuhkan negara Palestin yang berdaya maju, berdaulat dan merdeka.