‘Generasi Huffaz Profesional, Menggapai Di Langit Dan Mengakar Di Bumi’ – PM

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2026M dengan penegasan bahawa majlis itu bukan sekadar medan memperdengar ayat suci tetapi usaha melahirkan Generasi Al-Quran yang unik (جيل القرءان الفريد) dalam menghadapi cabaran zaman.

Beliau berkata, kekuatan umat Islam tidak hanya terletak pada bacaan dan hafazan tetapi pada penghayatan yang membentuk akhlak, memandu kepimpinan serta menterjemah nilai al-Quran dalam kehidupan dan pembangunan negara.

“Dalam dunia yang semakin mencabar termasuk konflik berpanjangan di Asia Barat, umat tidak boleh terus lemah dan terpinggir.

“Kita mesti bangkit dengan kekuatan ilmu, penguasaan teknologi dan kesedaran yang tinggi, berlandaskan kefahaman Islam yang sebenar,” tegasnya.

Anwar turut menekankan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkasa sistem pendidikan agar melahirkan generasi huffaz profesional, bukan sahaja menghafaz tetapi menguasai sains, teknologi dan kecerdasan buatan tanpa terpisah daripada akar akidah, akhlak dan nilai.

“Inilah pendekatan menggapai di langit, mengakar di bumi yang kita tekankan yakni menguasai ilmu baharu dan teknologi, namun tetap berpaksikan akidah, akhlak dan nilai,” katanya.

Beliau berkata, perjuangan itu adalah berterusan untuk mengangkat martabat umat dan memaknai Islam sebagai kekuatan pembebasan, kemajuan dan keadilan.

“Insya-Allah, dengan ikhtiar dan istiqamah, kita akan melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berjiwa besar demi masa depan Malaysia MADANI,” ujar Perdana Menteri.

Anda Mungkin Berminat