PETALING JAYA: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menegaskan bahawa kecaman terhadap jenayah genosid Israel di Gaza semata-mata adalah tidak mencukupi.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang disokong sepenuhnya oleh Amerika Syarikat (AS) itu memerlukan tindakan konkrit dan tegas bagi memastikan Israel bertanggungjawab atas kekejamannya.
Justeru itu, MAPIM menggesa kerajaan Malaysia, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil langkah seperti dicadangkan.
“Kenakan sekatan ekonomi diplomatik seperti memboikot dan memutuskan hubungan dagangan dengan Israel.
“Penguatkuasaan lebih ketat diperlukan bagi menyekat sebarang urusan perniagaan secara tidak langsung,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Selain itu, MAPIM mendesak negara Islam mengusir diplomat Israel dan mendesak sekatan PBB serta pendakwaan pemimpin Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Bantuan ketenteraan dan kemanusiaan perlu ditingkatkan termasuk menyokong pertahanan Palestin dan menghantar konvoi besar-besaran ke Gaza.
“Organisasi Islam seperti OIC dan Liga Arab juga diseru mengambil langkah lebih strategik, sementara masyarakat global digalakkan meneruskan protes dan tekanan diplomatik terhadap kerajaan masing-masing,” katanya.
Tambah Mohd Azmi, Israel hanya akan menghentikan keganasannya jika dikenakan tindakan nyata dan Malaysia mesti memainkan peranan utama dalam usaha itu.