Gerakan Kultus Korea Selatan Dalam Radar Polis, Belum Ancam Keselamatan Negara – Saifuddin

KULIM: Gerakan kultus dari Korea Selatan yang didakwa aktif di negara ini berada dalam pemantauan pihak berkuasa, namun setakat ini belum mencapai tahap yang boleh mengancam keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah menerima taklimat daripada Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung pertubuhan berkenaan, termasuk corak pergerakan serta penglibatan individu tempatan.

“Fakta pertama, sememangnya gerakan ini berada dalam radar pasukan keselamatan kita. Persoalannya, adakah bentuk kegiatannya sudah sampai ke tahap mengancam keselamatan negara? Buat masa ini, belum.

“Pemantauan berterusan sedang dijalankan kerana aktivitinya hadir dalam bentuk yang kelihatan umum dan secara sepintas lalu tidak menampakkan sebarang ancaman yang jelas,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mengenai kewujudan satu gerakan kultus dari Korea Selatan yang didakwa menyimpang dan beroperasi secara aktif di Malaysia.

Menurut Saifuddin, pendekatan gerakan tersebut yang bersifat terbuka dan umum dipercayai menjadi antara faktor penglibatan beberapa tokoh tempatan, termasuk dalam kalangan ahli politik.

“Buat masa ini, kenyataan yang dibuat oleh Dr. Maza menunjukkan bahawa organisasi tersebut memang berada dalam pengetahuan dan pemantauan pihak keselamatan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai negeri-negeri yang dikenal pasti mempunyai aktiviti gerakan berkenaan, Saifuddin berkata pihaknya masih belum mempunyai maklumat terperinci mengenainya.

Beliau menegaskan bahawa pemantauan akan diteruskan bagi memastikan sebarang perkembangan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara dapat ditangani lebih awal.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat