Geramm Kecam Keras Serangan Israel Susulan Wartawan Al Jazeera Terbunuh

PETALING JAYA: Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel susulan pembunuhan lima wartawan Al Jazeera dalam serangan udara di Gaza pada 10 Ogos lalu, yang disifatkan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Antara yang terkorban ialah wartawan terkenal, Anas al-Sharif, dalam serangan berhampiran Hospital Al-Shifa, lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan media.

“Ini bukan kemalangan. Ia serangan yang disasarkan ke atas petugas media di zon yang jelas ditandai sebagai kawasan media.

“Ini pelanggaran nyata undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata Geramm dalam satu kenyataan.

Geramm turut mendesak agar serangan terhadap wartawan dan fasiliti media dihentikan serta-merta dan menuntut siasatan bebas, telus dan adil terhadap semua kes pembunuhan wartawan di Gaza.

Kenyataan itu juga menuntut tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Wartawan adalah orang awam. Serangan ke atas mereka adalah serangan terhadap hak masyarakat untuk mengetahui kebenaran,” tegas kenyataan itu lagi.

Menurut laporan daripada Committee to Protect Journalists (CPJ) dan Reporters Without Borders (RSF), lebih 130 wartawan telah terbunuh di Gaza sejak Oktober 2023, menjadikan konflik ini sebagai antara yang paling berdarah terhadap pengamal media dalam sejarah moden.

Geramm menyatakan solidariti penuh kepada Al Jazeera, keluarga mangsa serta seluruh wartawan yang terus mempertaruhkan nyawa demi melaporkan kebenaran dari zon perang.

Anda Mungkin Berminat