PETALING JAYA: Gerakan Media Merdeka (GERAMM) menyambut baik pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang bertujuan memperkukuh perlindungan sosial bagi golongan pekerja kontrak, sambilan dan bebas termasuk pengamal media yang tidak bergaji tetap.
Dalam satu kenyataan media, GERAMM berkata, langkah itu amat penting memandangkan ramai wartawan sambilan, pemberita bebas, jurugambar dan juruvideo beroperasi tanpa jaminan keselamatan pekerjaan, perlindungan sosial, mahupun insurans kesihatan yang setara dengan wartawan tetap.
“Bagi wartawan sambilan dan bebas, ini bermakna mereka tidak lagi dibiarkan terdedah kepada risiko kecederaan ketika tugasan lapangan tanpa sebarang perlindungan termasuk liputan bencana, rusuhan, mahupun tugasan konflik,” kata GERAMM.
RUU tersebut turut memperkenalkan kewajipan caruman PERKESO untuk pekerja gig, satu langkah yang dilihat sebagai pengiktirafan terhadap risiko unik yang dihadapi oleh pengamal media bebas.
GERAMM turut menggesa agar beberapa perkara khusus untuk sektor media dipertimbangkan selepas kelulusan RUU ini nanti.
“GERAMM mencadangkan agar organisasi media menyediakan kontrak minimum bagi wartawan bebas termasuk syarat pembayaran adil, hak cipta karya dan tempoh bayaran yang munasabah.
“Wartawan sambilan dan bebas perlu diberi peluang mengikuti bengkel keselamatan, kursus etika kewartawanan dan latihan profesional seperti wartawan tetap,” kata kenyataan itu.
GERAMM turut menyeru agar diwujudkan skim keselamatan sosial khas bagi tugasan berisiko yang boleh dituntut walaupun tanpa kontrak tetap.
GERAMM turut menghargai usaha kerajaan memasukkan wartawan sambilan, jurugambar dan juruvideo dalam kategori pekerjaan gig bukan platform, berbeza daripada penghantar makanan atau pemandu e-hailing.
“Hal ini menunjukkan pengiktirafan bahawa profesion kewartawanan melibatkan risiko keselamatan yang unik serta tanggungjawab awam yang tinggi,” menurut kenyataan itu.
GERAMM berkata, perlindungan pekerja media yang adil bukan sahaja penting untuk kebajikan wartawan tetapi juga untuk memastikan kelangsungan laporan berita yang bebas, berkualiti dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
“Kebebasan media hanya boleh dicapai apabila wartawan tetap mahupun sambilan dilindungi secara adil dan bermaruah dalam pekerjaan mereka,” tambah GERAMM.