PETALING JAYA: Fenomena gerhana bulan penuh dijangka berlaku malam ini bersamaan 14 Ramadan 1447 Hijrah, bermula jam 7.26 malam hingga 9.17 malam.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), kejadian ini merupakan satu-satunya gerhana bulan penuh yang berlaku pada tahun 2026. Fenomena seterusnya hanya dijangka berlaku pada 31 Disember 2028.
Dalam kenyataannya, MYSA memaklumkan gerhana penuh kali ini dapat disaksikan di Asia Timur, Australia, Lautan Pasifik, Amerika Utara dan Amerika Tengah. Manakala di Asia Tengah serta sebahagian besar Amerika Selatan, hanya gerhana bulan separa dapat dilihat.
Fenomena tersebut menyebabkan bulan kelihatan berwarna kemerahan, satu keadaan yang sering dirujuk sebagai “bulan darah”.
MYSA turut menjelaskan keseluruhan tempoh gerhana mengambil masa kira-kira lima jam 39 minit, dengan fasa penuh berlangsung hampir 58 minit.
Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena ini secara langsung di Planetarium Negara bermula jam 5.00 petang hingga 10.00 malam.
Pengunjung juga dialu-alukan untuk berbuka puasa di lokasi berkenaan sebelum menyertai program cerapan dan aktiviti yang telah disusun.
Sementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyarankan semua masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan agar melaksanakan solat sunat gerhana serta khutbah khas.
Menurut JAWI, fenomena gerhana merupakan antara tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT dalam penciptaan alam, yang wajar diinsafi serta dijadikan pengajaran dalam kehidupan umat Islam.
Baca juga:








