Gesaan PM bercuti cubaan cipta tekanan politik terhadap kerajaan

PETALING JAYA: Gesaan pembangkang agar Perdana Menteri bercuti dan menyertai perarakan anjuran Badan Peguam disifatkan sebagai cubaan mencipta tekanan politik terhadap kerajaan.

Hal ini jelas sementelah ketika fokus negara tertumpu kepada urusan lebih besar seperti Sidang Kemuncak ASEAN dan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Ketua Cabang PKR Tuaran, Razeef Rakimin berkata, pembangkang khususnya PAS dilihat sanggup mempolitikkan apa sahaja termasuk isu kehakiman demi menjatuhkan kerajaan sebelum tamat penggal.

“Gesaan agar Perdana Menteri bercuti langsung tidak berasas. Saya tidak hairan jika PAS sertai perarakan Badan Peguam, kerana mereka akan tunggang apa saja yang boleh untuk kepentingan politik. Kalau agama pun mereka boleh tunggang, apatah lagi isu kehakiman,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak pernah campur tangan dalam urusan pelantikan hakim dan komited mempertahankan kebebasan institusi kehakiman meskipun diasak dengan dakwaan tanpa bukti.

“Sebab itu penting untuk kita kekalkan kebebasan badan kehakiman. Tapi selagi ada ruang, pembangkang akan terus gunakan isu ini sebagai senjata politik,” katanya.

Mengulas kenyataan Penasihat Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya, Razeef menyifatkan ia berat sebelah kerana hanya bersandarkan pandangan individu yang tiada kaitan langsung dengan proses pelantikan hakim.

“Kalau Latheefa boleh petik kenyataan Nazri Aziz untuk serang Anwar, dia akan petik. Tapi itu cuma pandangan peribadi, bukan pendirian rasmi kerajaan. Tuduhan berat tak boleh dibuat atas dasar pandangan sebelah pihak,” katanya lagi.

Gesaan terhadap Perdana Menteri timbul susulan dakwaan kononnya wujud campur tangan dalam pelantikan hakim atasan, dakwaan yang sudah beberapa kali dinafikan sendiri oleh Anwar Ibrahim.

Dalam masa sama, kerajaan kini giat menumpukan persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Oktober ini, yang bakal dihadiri pemimpin dunia, serta pembentangan RMK-13 yang dijadual bulan depan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat