Gesaan PM Bercuti Tidak Berasas – AMK Klang

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Klang menolak gesaan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercuti susulan saman sivil terhadapnya dan menyifatkannya sebagai tidak berasas dan sekadar gangguan politik.

Ketua AMK Klang, Mohamad Shahrul Adnan berkata, saman tersebut adalah kes sivil dan bukan pertuduhan jenayah, sekali gus tidak menghendaki Perdana Menteri mengambil cuti.

“Tiada keperluan undang-undang untuk Perdana Menteri bercuti.

“Beliau (PM) kekal menjalankan tugas dengan integriti dan komitmen,” katanya dalam satu kenyataan.

Gesaan bercuti itu dibuat oleh Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang mencadangkan Anwar memberi laluan kepada timbalannya untuk mentadbir negara.

Cadangan tersebut timbul susulan saman yang difailkan oleh bekas pembantu penyelidik, Yusoff Rawther berhubung dakwaan serangan seksual tujuh tahun lalu.

Mohamad Shahrul menyifatkan cadangan itu sebagai gambaran kelemahan pemahaman undang-undang PAS serta usaha mengalihkan perhatian daripada isu pentadbiran di negeri yang ditadbir parti tersebut.

“PAS sepatutnya fokus kepada penyelesaian rakyat, bukan menjadikan mahkamah medan politik,” tegasnya.

Pada Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar untuk merujuk beberapa persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan imuniti Perdana Menteri daripada tindakan undang-undang.

AMK Klang terus mempertahankan pendirian bahawa Perdana Menteri wajar meneruskan tugasnya tanpa gangguan politik dengan komitmen terhadap tadbir urus negara.

Anda Mungkin Berminat