KUALA LUMPUR: Selepas menerima pengiktirafan daripada Amerika Syarikat, kini giliran dua kuasa besar Eropah Perancis dan Jerman memuji peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menamatkan ketegangan antara Thailand dan Kemboja.
Kedua-dua negara memuji pendekatan diplomatik Malaysia yang berjaya membawa dua negara jiran ASEAN itu ke meja rundingan, seterusnya menghasilkan persetujuan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat semalam.
Jurucakap Kerajaan Jerman, Stefan Kornelius dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Canselor Jerman, Friedrich Merz telah mengadakan panggilan telefon bersama Anwar untuk menyampaikan penghargaan secara peribadi.
“Sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini, Malaysia telah memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan serantau.
“Canselor Merz melihat Malaysia sebagai rakan strategik utama Jerman di Asia Tenggara dan berharap hubungan ekonomi serta politik dapat diperkukuh,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Luar Perancis turut mengeluarkan kenyataan rasmi menyambut baik kejayaan mediasi Malaysia yang membawa kepada persetujuan damai antara Thailand dan Kemboja dalam satu pertemuan penting di Putrajaya semalam.
“Perancis menghargai kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengemudi ASEAN ke arah penyelesaian aman.
“Kami menggesa agar gencatan senjata yang diumumkan ini dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan,” ujar kenyataan itu.
Perancis turut menegaskan komitmennya terhadap prinsip sentraliti ASEAN dan menyatakan kesediaan untuk menyokong sebarang inisiatif diplomatik yang selari dengan undang-undang antarabangsa bagi mencapai penyelesaian jangka panjang.
Terdahulu, pada Isnin, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta hasil rundingan yang dipengerusikan Perdana Menteri Malaysia di Putrajaya satu kejayaan besar dalam sejarah diplomasi serantau di bawah kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025.