GISB: Polis siasat sumber dana pusat jagaan

Oleh: Hanim Nadia

KUALA LUMPUR: Skop siasatan Op Global oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini tertumpu kepada transaksi sumbangan dana 20 pusat jagaan dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman sudah digerakkan bagi mengenal pasti setiap rekod transaksi berkaitan.

“Siasatan merangkumi pelbagai sudut termasuk sekiranya ada pihak lain yang terlibat dalam menyumbangkan dana bagi pengoperasian rumah amal tersebut dan lain-lain perniagaan.

“Selain itu, siasatan mendapati terdapat juga pusat penjagaan warga emas yang menerima dana daripada syarikat terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Mess Pegawai, Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Jumaat.

Katanya, pengurusan tertinggi sebuah syarikat tempatan akan dipanggil dalam masa terdekat berkaitan siasatan dijalankan.

Ujar Razarudin, siasatan lanjut masih dijalankan setakat ini terutamanya melibatkan dakwaan mengeksploitasi kanak-kanak.

“Kita tidak menolak kemungkinan akan memanggil mereka dalam masa terdekat cuma setakat ini tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana siasatan masih di peringkat awal.

“Siasatan yang teliti meliputi pelbagai aspek sebelum apa sahaja tindakan susulan diambil selepas ini,” katanya.

Pada Rabu, media melaporkan mangsa terdiri 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik GISB Holdings.

Razarudin dilaporkan berkata, dalam operasi Ops Global yang dijalankan jam 6 hingga 11 pagi itu, pihaknya turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian.

Anda Mungkin Berminat