GKMM ucap terima kasih kepada Ahli Parlimen dan MCMC

PETALING JAYA: Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua Ahli-ahli Parlimen yang menyokong dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Presidennya, Mohamad Fauzi Ishak berkata RUU itu akan meningkatkan profesion kewartawanan negara.

“Sememangnya, kelulusan RUU Majlis Media Malaysia menjadi hal yang dinanti oleh seluruh pengamal media di negara ini dalam usaha untuk mengangkat martabat profesion kewartawanan negara.

“Ini antara lainnya, yang menyentuh soal masa depan industri media itu sendiri agar terus kekal berdaya saing dan kompetetif, seiring dengan kepesatan dunia digital hari ini,” katanya dalam kenyataan media.

Tambahnya, pelbagai isu kebajikan yang melingkari dan membelenggu warga pengamal media sejak mutakhir ini, akan dapat diambil perhatian dan tindakan segera, sekali gus ditangani sebaiknya. 

“Penubuhan Majlis Media Malaysia ini secara langsung akan membuka ruang serta platform di mana seluruh pengamal media, industri media serta kerajaan dapat duduk bersama, berbincang dan mencari solusi, disamping merangka hala tuju untuk masa depan dunia kewartawanan di Malaysia. 

“GKMM menaruh harapan agar kerajaan meletakkan keutamaan dari segi penglibatan dan penyertaan penuh daripada kalangan warga media dalam Majlis Media Malaysia, terutama dalam membuat dan menentukan keputusan penting yang menyentuh hala tuju dan masa depan industri ini,” katanya.

Pertubuhan itu turut memberi penghargaan kepada Kementerian Komunikasi terutama Menteri, Fahmi Fadzil serta timbalannya, Teo Nie Chin atas komitmen dan kesungguhan memastikan RUU dibentang dan diluluskan dengan jayanya di Dewan Rakyat. 

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat