JOHANNESBURG: Global Sumud Flotilla (GSF) merancang melancarkan misi kemanusiaan terbesar ke Gaza apabila flotila maritim dan konvoi bantuan darat dijadual berlepas serentak pada 29 Mac depan.
GSF memaklumkan, misi antarabangsa itu akan menggerakkan ribuan sukarelawan dari lebih 100 negara sebagai usaha kolektif tanpa kekerasan bagi menentang genosid, kepungan berpanjangan, kebuluran serta kemusnahan kehidupan orang awam di wilayah berkenaan.
Pengumuman misi itu dibuat di Yayasan Nelson Mandela, Johannesburg, sekali gus mengaitkan usaha berkenaan dengan legasi solidariti global dan perjuangan aman menentang penindasan.
Ahli Jawatankuasa Pemandu GSF, Saif Abukeshek, berkata misi itu menyasarkan sistem penindasan yang berterusan terhadap rakyat Palestin.
“Inilah musuh yang sedang kita hadapi. Ia bukan seorang individu, tetapi satu cara hidup yang menentukan masa depan bangsa-bangsa lain,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat,
Menurut GSF, misi berkenaan menghimpunkan lebih 1,000 doktor, jururawat dan petugas kesihatan, selain pendidik, jurutera, pasukan pembinaan semula serta penyiasat jenayah perang dan kerosakan ekosistem.
GSF menegaskan flotila itu bukan sekadar pelayaran kemanusiaan, sebaliknya simbol kebangkitan masyarakat dunia.
“Ini bukan hanya tentang kapal, tetapi tentang dunia yang bangkit bersama membela mereka yang dizalimi,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam misi pada 30 Ogos hingga 2 Oktober tahun lepas, kesemua aktivis terlibat termasuk dari Malaysia dipintas tentera laut rejim zionis ketika menghampiri perairan Gaza.
Baca juga:








