Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Gombak-Hulu Langat kini diisytiharkan sebagai Geopark Kebangsaan Pertama di Negeri Selangor.
Pengisytiharan ini telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersempena dengan Karnival Gua Damai di Selayang.
Menerusi satu hantaran di Facebook Selangor Royal Official, pengisytiharan ini membuktikan bahawa pembangunan negara tidak perlu mengorbankan warisan geologi yang berharga.
“Usaha ini juga menjadi satu pencapaian besar Selangor dan bukti kita memelihara kelestarian alam semula jadi dan menguruskan kawasan yang memiliki nilai geotapak luar biasa dengan lestari,” titah Baginda.
GHL Geopark meliputi kawasan seluas 112,955 hektar di daerah Gombak dan Hulu Langat dengan menjadi geopark ketujuh di Malaysia.
Ia adalah satu-satunya geopark yang berada dalam kawasan bandar di negara ini yang menjadikannya istimewa.
Pengiktirafan kawasan ini juga menyokong Agenda Pembangunan Nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Geopark ini merangkumi 31 geotapak dengan 20 daripadanya diiktiraf sebagai kawasan pelancongan eko dan geo berikutan landskap semula jadi dan geologi yang kekal terpelihara.
Baca lagi.








