KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menyaksikan lonjakan besar dalam ekonomi digital apabila Google melabur sebanyak US$2 bilion (RM9.5 bilion) bagi membangunkan pusat data pertama serta perkhidmatan awan di negara ini.
Pelaburan strategik itu dijangka menjana 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan projek yang diumumkan pada Mei 2024 kini berjalan lebih baik daripada jangkaan awal.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan pelaburan ini bergerak dengan kemajuan memberangsangkan dan malahan melangkaui jangkaan awal,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Menurut Anwar, projek itu dijangka menyumbang kesan ekonomi bernilai US$3.2 bilion sepanjang tempoh pelaksanaannya sehingga 2030.
“Pelaburan strategik ini mencerminkan keyakinan berterusan terhadap ekosistem ekonomi digital negara dan selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab serantau bagi aliran data yang selamat, pengkomputeran awan dan inovasi kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Beliau berkata, kerajaan kekal komited memudah cara pelaburan serta menyediakan platform sokongan bagi memastikan projek dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.
“Dalam semangat ini, saya mengalu-alukan Google untuk terus meneroka peluang pelaburan tambahan di Malaysia pada masa hadapan,” tambahnya.








