‘Goran’ Jadi Perintis Program Adopsi K9 PDRM Bersara

ALOR SETAR: Seekor anjing pengesan (K9) bernama ‘Goran’ kini mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi perintis kepada program adopsi K9 bersara Polis Diraja Malaysia (PDRM), satu inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh Bahagian D6 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Program itu membolehkan anjing pengesan yang telah bersara atas nasihat doktor veterinar diambil sebagai haiwan peliharaan dengan proses adopsi melalui tapisan ketat bagi memastikan kebajikan dan kesihatan K9 terbabit terus terpelihara.

Keutamaan diberikan kepada pemegang asal, diikuti warga PDRM dan seterusnya orang awam.

Goran, seekor German Shepherd berusia lapan tahun dari Czechoslovakia, diserahkan kepada Inspektor Lee Sheng Wey dari JSJ IPK Perak selepas enam tahun berkhidmat dalam pasukan.

Majlis penyerahan berlangsung di Seksyen K9 Kuala Muda dan disaksikan Ketua Penolong Pengarah D6 JSJ Bukit Aman, SAC Zuraimi Zam Zam serta Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan.

”Program ini bersejarah kerana sejak penubuhan unit K9 pada 1968, buat pertama kali anjing bersara dibenarkan diambil sebagai haiwan peliharaan.

“Ia juga menyokong perolehan 25 ekor K9 baharu setiap dua tahun bagi mengukuhkan kekuatan unit,” katanya dalam satu kenyataan.

Sepanjang perkhidmatannya, Goran mencatat rekod cemerlang termasuk pengesanan bahan kes di 60 lokasi jenayah, 213 rondaan cegah jenayah, 40 tugasan kawalan awam serta penyertaan aktif dalam program ‘community policing’.

Antara sumbangan pentingnya ialah membantu menyelesaikan kes bunuh di Kampung Batu 7, Binjul Luar, Kuala Ketil pada tahun 2024.

Unit K9 PDRM yang ditubuhkan sejak 1968 kini menjadi antara elemen penting dalam penguatkuasaan dan pencegahan jenayah di negara ini.

Anda Mungkin Berminat