GovTech pacu pembaharuan sistem kehakiman termasuk Mahkamah Syariah

PUTRAJAYA: Inisiatif pendigitalan sektor awam di bawah GovTech bukan sahaja memudahkan urusan harian rakyat, malah menjadi pemangkin kepada pembaharuan sistem kehakiman negara, termasuk Mahkamah Syariah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan baharu ini bakal mempercepat dan memperkemas proses keadilan, khususnya melalui penaiktarafan sistem e-Syariah dan penggunaan sistem perekodan prosiding digital.

“Pendigitalan sistem kehakiman adalah langkah penting untuk meningkatkan akses kepada keadilan dan menjadikan perkhidmatan mahkamah lebih telus, cekap dan mesra rakyat,” katanya semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) hari ini.

Sebagai sebahagian daripada agenda transformasi itu, projek pembangunan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia turut dilaksanakan bagi memperkukuh keupayaan sumber manusia dalam bidang perundangan Islam.

GovTech akan menyediakan kerangka digital yang saling kebolehkendali, membolehkan integrasi data antara pelbagai institusi termasuk mahkamah, agensi penguat kuasa dan jabatan kerajaan, sekali gus mempermudah proses perundangan dan pentadbiran kes.

Kerajaan juga akan meningkatkan latihan digital dan AI kepada penjawat awam, termasuk dalam bidang kehakiman, bagi memperkukuh kecekapan dan profesionalisme sektor ini dalam era pendigitalan.

Dengan langkah ini, Malaysia menyasarkan untuk menjadi antara 20 negara terbaik dunia dalam Online Service Index Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta mengekalkan *kategori A dalam GovTech Maturity Index menjelang 2030.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat