KUALA LUMPUR: Kepercayaan dikenal pasti sebagai keutamaan utama dalam pembangunan ekosistem digital negara meskipun capaian Internet hampir menyeluruh, menurut Setiausaha Agung Kementerian Digital, Fabian Bigar.
Membacakan teks ucapan Menteri Digital Gobind Singh, beliau berkata kadar akses Internet pada 2024 mencapai 98.8 peratus di kawasan bandar dan 90.3 peratus di luar bandar, namun cabaran sebenar kini tertumpu kepada aspek kepercayaan.
“Kesalinghubungan bukan lagi cabaran utama. Cabaran kita hari ini ialah memastikan digitalisasi dipacu dengan kepercayaan,” katanya pada Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global (GPRCFMY) 2025 di WTC Kuala Lumpur pada Sabtu.
Beliau berkata Malaysia komited menjadi antara ekonomi kecerdasan buatan (AI) terkemuka menjelang 2030, dengan Rancangan Tindakan AI Nasional 2026-2030 menekankan etika, inovasi dan pertumbuhan ekonomi inklusif.
“Nilai sebenar AI tidak diukur dari segi ringgit, tetapi melalui tanggungjawab. Data mencerminkan siapa kita, dan melindunginya adalah keutamaan,” katanya.
Fabian berkata pembangunan bakat digital turut diperkukuh melalui kerjasama antara MDEC, MyDigital dan HRD Corp, dengan sasaran melatih 500,000 pelajar menjelang 2027 dalam kemahiran teknologi berteraskan etika.
“Data ialah kuasa, tetapi setiap kuasa memerlukan prinsip. Rakyat perlu diyakinkan bahawa kuasa digital diurus secara adil dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Beliau turut menekankan peranan generasi muda dalam mengimbangi naratif digital negara serta keperluan memupuk empati dalam komunikasi era kecerdasan buatan.
Fabian berkata pengamal perhubungan awam mempunyai peranan penting sebagai penghubung antara teknologi dan masyarakat, dalam memastikan ekosistem digital negara berkembang secara beretika dan inklusif.
Anjuran Pertubuhan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners), acara julung kali selama tiga hari yang bermula 13 November lalu menghimpunkan lebih 500 pemimpin
komunikasi, pengamal media, pembuat dasar dan ahli akademik dari dalam dan luar negara.
Baca juga:








