BANGKOK: Jaguh lontar tukul besi wanita negara, Grace Wong Xiu Mei, sekali lagi menunjukkan kelasnya apabila meraih pingat emas di Sukan SEA 2025 dengan lontaran luar biasa sejauh 65.41 meter.
Bukan sekadar mempertahankan gelaran, atlet kelahiran Sarawak itu turut melakar sejarah tersendiri. Lontaran tersebut memecahkan rekod Sukan SEA, rekod kebangsaan, serta menjadi catatan peribadi terbaik (PB), menjadikannya antara prestasi paling dominan dalam sejarah acara itu di Asia Tenggara.
Bertempat di Stadium Olahraga Bangkok, Grace mengetepikan cabaran enam peserta lain dengan margin yang besar, sekaligus mengukuhkan kedudukan sebagai salah seorang atlet paling konsisten dan elit dalam sukan olahraga Malaysia.
Dua atlet Thailand melengkapkan podium, Koomphon Mingkamon memenangi perak dengan lontaran 60.74 meter, manakala Kaewasukri Sawitree meraih gangsa selepas mencatat 57.27 meter.
Seorang lagi wakil Malaysia, Nurul Hidayah Lukman, menamatkan saingan di tempat kelima dengan catatan 52.21 meter.
Kemenangan bergaya ini sekali lagi membuktikan dominasi Grace Wong dalam acara lontar tukul besi dan mengangkat nama Malaysia di pentas serantau.
Baca juga:







