Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Gred D yang diberikan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) kepada Kerajaan Perpaduan tidak menggambarkan keseluruhan prestasi kerajaan.
Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Profesor Madya Dr Hamdan Mohd Salleh berkata, gred yang diberikan kemungkinan berdasarkan penilaian persepsi tertentu.
“Kerajaan Perpaduan telah menunjukkan usaha yang signifikan dalam memulihkan kestabilan politik, memperbaiki ekonomi dan melaksanakan reformasi.
“Walaupun kritikan daripada BERSIH wajar dihormati, pemberian gred D tidak mengambil kira sepenuhnya konteks cabaran semasa serta pencapaian penting yang telah dibuat.
“BERSIH memerlukan pemerhatian yang seimbang, terutama dalam memahami konteks penilaian tersebut dan mempertimbangkan usaha serta cabaran semasa kerajaan,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Rabu.
Terdahulu, lapor media, BERSIH memberikan gred D iaitu 45.8 peratus kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara.
Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pemarkahan yang diberi menunjukkan wujud jurang signifikan dari aspek kemajuan, progres dan tindakan ke arah pelaksanaan reformasi.
Muhammad Faisal berpandangan, kerajaan tidak mempunyai masa yang cukup untuk melaksanakan kesemua reformasi memandangkan sudah melepasi pertengahan penggal lima tahun, malah tiada perubahan besar dibuat.
Mengulas mengenai kenyataan itu, Dr Hamdan membidas, proses reformasi memerlukan masa, terutama dengan keperluan mencapai konsensus dalam Kerajaan Perpaduan yang melibatkan pelbagai parti politik.
“Walaupun ada kritikan terhadap isu reformasi ini, beberapa langkah signifikan telah diambil, termasuk, Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang mana ia satu langkah penting ke arah pemisahan kuasa dan pengukuhan institusi Parlimen.
“Selain itu, kerajaan berusaha memperbaiki ketelusan dan integriti dengan menunjukkan komitmen melalui langkah-langkah seperti mengukuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menekankan kebertanggungjawaban menteri melalui amalan tadbir urus yang lebih baik,” tambahnya.
Ketika ditanya adakah kerajaan perlu menjemput BERSIH untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara ini, kata Dr Hamdan, kerajaan boleh melibatkan semua pemegang taruh, bukan sahaja BERSIH supaya reformasi itu dapat diperkasa.
“Kerajaan menunjukkan keterbukaan terhadap pandangan dan kritikan, termasuk daripada kumpulan seperti BERSIH.
“Ini adalah petunjuk positif bahawa kerajaan menghormati suara masyarakat sivil, meskipun masih ada ruang untuk meningkatkan dialog yang lebih produktif.
“Justeru, kerajaan perlu terus berkomunikasi secara telus dengan rakyat dan melibatkan masyarakat sivil untuk memastikan reformasi berjalan dengan lebih efektif,” katanya lagi.