KOTA KINABALU: Keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang dipercayai dipacu oleh faktor kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, keputusan itu selari dengan keperluan untuk mewujudkan kestabilan dan pembangunan negeri.
“Sudah tentu mereka ada asas tersendiri dan rakyat akan membuat penilaian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
GRS yang dipimpin Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, semalam mengumumkan kerjasama rasmi dengan PH, sekali gus menolak kemungkinan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) buat masa ini.
PH sebelum ini telah mencapai persetujuan awal dengan BN untuk menghadapi PRN Sabah secara bersama.
Namun, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa BN tidak akan bekerjasama dengan GRS semasa pilihan raya dan sebarang bentuk kerjasama hanya akan dipertimbang selepas keputusan PRN diumumkan.
Salleh turut berkata, keputusan BN bersama PH dibuat sejak awal kerana kedua-duanya adalah asas kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Kerjasama ini merupakan kesinambungan yang logik dan bertanggungjawab,” katanya.
Tambah beliau, urusan antara PH dan GRS adalah di luar bidang BN, malah fokus BN adalah keikhlasan dalam kerjasama dan usaha memperkukuh kekuatan parti di peringkat akar umbi.








