PETALING JAYA: Wanita PKR mengecam sekeras-kerasnya kewujudan halaman media sosial yang dikenali sebagai “Grup Budak Sekolah”, yang dipercayai mengandungi unsur jenayah pengantunan dan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Dalam satu kenyataan hari ini, sayap parti itu menuntut tindakan tegas dan segera daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk menangani isu yang disifatkan sebagai ancaman kepada komuniti dan maruah kanak-kanak.

“Pihak berkuasa perlu memastikan kanak-kanak terus dilindungi di bawah undang-undang negara. Tiada ruang untuk kompromi apabila berdepan kelucahan dan jenayah seksual yang menjadikan kanak-kanak mangsa,” menurut kenyataan itu.
Wanita PKR juga menggesa seluruh masyarakat dan ibu bapa agar lebih cakna serta bertanggungjawab memantau aktiviti dalam talian, terutamanya yang melibatkan kumpulan media sosial yang bersifat lucah, mengandungi komen jelik atau berunsur gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Selain desakan terhadap pihak berkuasa, pihaknya turut menyatakan komitmen mereka untuk memainkan peranan proaktif, termasuk melalui siri advokasi dan program literasi perlindungan kanak-kanak di peringkat komuniti.

“Usaha meningkatkan kesedaran masyarakat amat penting bagi memastikan perlindungan kepada kanak-kanak dan seluruh komuniti daripada gangguan seksual. Isu keselamatan di media sosial juga tidak boleh dipandang ringan.”jelas kenyataan itu lagi.
Terdahulu, pempengaruh media sosial, Mekyun meluahkan rasa tidak selesa apabila gambarnya semasa zaman persekolahan telah disunting dan disebarkan dalam sebuah kumpulan media sosial yang dikenali sebagai “Group Budak-Budak Sekolah Rendah”.
Kumpulan yang dianggarkan mempunyai lebih 12,000 ahli itu dipercayai berkongsi gambar pelajar sekolah, termasuk kanak-kanak, yang disunting secara tidak wajar dan berunsur lucah. Kes ini menimbulkan kebimbangan terhadap isu keselamatan digital serta perlindungan kanak-kanak di platform media sosial.
Baca juga: