KUALA LUMPUR: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) berdepan detik tegang apabila beberapa kapal dalam konvoi itu didakwa dihampiri dan dipintas secara agresif oleh kapal tentera Israel berhampiran Kepulauan Crete, Greece awal pagi tadi.
Menurut Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, insiden berlaku antara pukul 1.00 pagi hingga 11.00 pagi waktu Malaysia ketika flotilla berada kira-kira 656 batu nautika dari Pantai Gaza dalam laluan perairan antarabangsa.
SNCC mendakwa tindakan provokasi termasuk tembakan amaran serta gangguan frekuensi radio telah dilakukan terhadap kapal-kapal yang membawa aktivis kemanusiaan tidak bersenjata.
“Kapal flotilla berada di zon pelayaran antarabangsa yang sah dan tidak melanggar mana-mana protokol maritim, namun tetap dihampiri secara agresif oleh pihak tentera terbabit,” katanya pada Khamis.
Sebanyak 22 kapal yang membawa 186 individu dilaporkan terjejas dengan sebahagiannya dipintas, terputus hubungan dan diceroboh.
Enam kapal disahkan ditahan, melibatkan 10 rakyat Malaysia termasuk seorang doktor dan beberapa aktivis kemanusiaan.
Dalam perkembangan sama, puluhan dron tidak dikenalpasti turut dikesan beroperasi di sekitar kawasan flotilla, dipercayai menjalankan pemantauan serta mengganggu komunikasi.
“Rakaman audio dan visual menunjukkan wujud percubaan menggunakan naratif tertentu bagi menjustifikasikan tindakan ketenteraan, sedangkan flotilla kekal di laluan yang dibenarkan,” ujar beliau lagi.
SNCC dalam pada itu menggesa orang ramai supaya merujuk sumber sahih bagi mendapatkan maklumat tepat serta mengelakkan penyebaran maklumat tidak benar.
“Kami menyeru rakyat Malaysia untuk terus mendoakan keselamatan semua delegasi khususnya mereka yang terputus hubungan dalam insiden ini,” menurut kenyataan berkenaan.








