PETALING JAYA: Keputusan membenarkan aktivis Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) menandatangani borang Permohonan Pelepasan Segera selepas ditahan di Penjara Ketziot, Israel bukanlah satu bentuk penyerahan, sebaliknya langkah diplomasi yang bijak demi mempercepatkan proses penghantaran pulang ke tanah air.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan bahawa tindakan tersebut telah dimaklumkan lebih awal oleh sekretariat misi kerana penahanan oleh rejim Zionis dijangka berlaku berdasarkan pengalaman misi flotilla terdahulu.
“Apabila mereka menandatangani borang itu, tidak perlu melalui proses perundangan yang panjang.
“Kita tidak tahu bagaimana undang-undang di Israel berfungsi dan kemungkinan mereka akan ditahan lebih lama jika enggan tandatangan.
“GSF bukan misi keganasan tetapi misi keamanan membantah kekejaman Israel.
“Mereka tidak membawa senjata, jadi jangan salah faham. Ini bukan tanda menyerah kalah, ini diplomasi secara lembut dan diam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Mawlid Masjid Sheikh Haji Ahmad di Seremban, pada Ahad.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, langkah tersebut turut memudahkan urusan diplomatik, memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Israel dan bergantung kepada bantuan negara sahabat seperti Turkiye, Jordan dan Mesir.
Beliau turut memaklumkan bahawa proses dokumentasi serta urusan membawa pulang 23 aktivis Malaysia yang kini berada di Istanbul akan dikendalikan oleh Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama rapat pihak berkuasa antarabangsa.
Sementara itu katanya, kerajaan terus memantau pergerakan lapan lagi sukarelawan Malaysia yang masih menyertai gelombang ketiga misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Setakat ini, kita belum menerima maklumat terkini.
“Jika mereka ditahan, kita akan guna pendekatan sama untuk memudahkan proses pelepasan,” katanya lagi.
Pada Khamis lalu, 23 aktivis Malaysia ditahan oleh tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas di Zon Merah R3, Laut Mediterranean, sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod dan seterusnya ke pusat tahanan Ketziot.








