Guan Eng duduk bawah tempurung – Puad


Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Tindakan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang mempersoalkan penerimaan Menteri Pendidikan terhadap wakil kerajaan Afghanistan diibaratkan seperti bawah tempurung.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyelar Guan Eng yang disifatkannya tidak menerima pembaharuan.

“Saya juga musykil kenapa Lim Guan Eng bising sangat wakil kerajaan Afghanistan datang melawat sekolah di Malaysia. Apa salah mereka belajar dari Malaysia.

“Jawapan Menteri Pendidikan adalah tepat. Malaysia boleh mendedahkan kepada mereka betapa pendidikan di Malaysia tidak mendiskriminasikan wanita termasuk SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dan SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil). Lim Guan Eng masih duduk di bawah tempurung,” katanya menerusi Facebook pada Jumaat.

Tambahnya, peluang pembelajaran itu adalah langkah terbaik membangunkan negara itu.

“Afghanistan sudah berpuluh tahun dimusnahkan oleh Rusia dan Amerika. Biarlah mereka belajar dari kita terutama dalam membangun negara dan hidup bertoleransi.

“Akan sampai masanya Malaysia turut mengiktiraf Afghanistan. Taliban bukan konotasi negatif. la bermakna pelajar dan pencari,” ujarnya.

Pada Rabu, Guan Eng meminta Fadhlina Sidek menjelaskan alasan berikutan Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan kerajaan Afghanistan pimpinan Taliban.

Katanya, beliau membangkitkan isu berkenaan bukan saja sebagai wakil rakyat, malah mengambil berat mengenai hak asasi manusia khususnya pendidikan wanita yang dilarang Taliban.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat