Gula putih masih bebas cukai, harga tidak naik – MOF

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan (MOF) hari ini menegaskan bahawa gula bertapis atau gula putih tidak akan dikenakan cukai jualan walaupun negara sedang melaksanakan semakan semua ke atas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula pada 1 Julai depan.

Menerusi kenyataan media hari ini, MOF menjelaskan penjelasan itu dikeluarkan susulan satu kenyataan oleh pengeluar gula, MSM Malaysia Holdings Berhad sebelum ini berhubung kemungkinan kesan semakan cukai terhadap harga gula di pasaran tempatan.

Menurut MOF lagi, kerajaan tidak mengenakan cukai ke atas barangan keperluan asas seperti gula, garam, ayam, telur, daging, ikan, sayur-sayuran, minyak masak dan beras.

“Langkah ini diambil sebagai pendekatan bersasar dibawah kerangka Ekonomi MADANI, bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan pelaksanaan semula SST,” katanya.

Bagaimanapun, Kementerian itu turut memaklumkan bahawa gula mentah yang digunakan dalam proses penghasilan gula bertapis akan dikenakan Cukai Jualan sebanyak lima peratus..

Namun begitu, pihak pengilang seperti MSM masih layak memohon pengecualian cukai bagi bahan mentah dan input mereka.

“Oleh itu, tiada sebab untuk berlaku sebarang kenaikan harga gula bertapis.

“Ini kerana pengilang masih menerima insentif bulanan daripada kerajaan untuk menjamin kestabilan bekalan dan harga pasaran,” jelas kenyataan itu lagi.

MOF turut memaklumkan bahawa penapis dan pengilang gula di Malaysia boleh memohon pengecualian cukai daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), seperti yang diperuntukkan di bawah Butiran 1, Lajur (2), Jadual B dalam Perintah Cukai Jualan (Orang Yang Dikecualikan daripada Pembayaran Cukai).

Kata kementerian itu, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan kestabilan harga barangan keperluan asas kekal terjamin dan tidak membebankan pengguna.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat