Guna Bijak Sistem ‘Beli Dulu, Bayar Kemudian’ Elak Terperangkap Hutang

Oleh: Nadhirah Akmam

PETALING JAYA: Sistem ‘Beli Dulu, Bayar Kemudian (BNPL)’ semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya golongan muda, namun pendekatan kewangan berhemah amat penting agar pengguna tidak terjerat dalam hutang jangka panjang.

Pada asalnya, BNPL direka bagi memudahkan pengguna memiliki barangan keperluan secara ansuran tanpa perlu menggunakan kad kredit terutamanya bagi mereka yang sedang menunggu gaji atau kekurangan wang tunai.

Namun, jika tidak dikendalikan secara disiplin, BNPL boleh menjadi jerat kewangan terutama apabila digunakan untuk barangan bukan keperluan serta apabila caj tambahan dikenakan akibat kelewatan bayaran.

Seorang pekerja swasta, Nurin Aisha Azizi, berkongsi pengalamannya, menyifatkan sistem BNPL sebagai sangat membantu terutama dalam keadaan mendesak.

“Contohnya, sesetengah rakan saya pandai menggunakan sistem ini dan mampu menguruskan hutang mereka dengan baik.

“Maka ia memberi kemudahan kepada mereka,” tambahnya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berpandangan bahawa BNPL bukanlah satu kesalahan, malah boleh memberi manfaat besar jika digunakan dengan disiplin.

“Masalah mula timbul apabila pengguna tidak peka dengan tarikh akhir bayaran dan membuat pembelian melebihi kemampuan,” ujarnya.

Beliau turut berkata, kesedaran dan pendidikan kewangan sangat penting agar masyarakat tidak terperangkap dalam beban kewangan yang berlarutan.

BNPL mula diperkenalkan secara meluas di Malaysia sejak beberapa tahun lalu melalui pelbagai aplikasi e-dagang dan platform kewangan dan turut menjadi antara topik yang dibahaskan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Anda Mungkin Berminat