PUTRAJAYA: Lebih 200 ulama, guru pondok dan cendekiawan Islam daripada 99 institusi pondok seluruh negara berhimpun dalam Muzakarah Umara’ dan Ulama’ Pondok Kebangsaan (UMRAN) 2025.
Majlis selama tiga hari bermula 18 Julai itu dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Akademi Kenegaraan Malaysia, Jabatan Komunikasi Komuniti dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Antara pengisian program termasuk sesi ibadah bersama masyarakat, muzakarah berfokus dan seminar membincangkan masa depan umat Islam serta peranan institusi pondok dalam membina jati diri bangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menekankan kepentingan peranan guru pondok dalam menyokong usaha kerajaan.
“Kenapa mereka (guru pondok) hadir? Kerana mereka ada rasa prihatin untuk bantu kerajaan selesaikan isu melibatkan gejala sosial,” katanya semasa merasmikan muzakarah tersebut.
Beliau turut menjelaskan bahawa program seperti itu selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar para pemimpin negara kekal dekat dan berganding bahu bersama para ulama.
“Program ini akan diadakan secara berkala bagi memberi mereka ruang untuk berbincang dan bertukar idea, bukan sahaja untuk pembangunan pondok masing-masing tetapi juga bagi memberi peluang memberi cadangan kepada kerajaan berkaitan pembangunan dan perjalanan negara,” tambah beliau.
Para guru pondok turut terlibat dalam sesi ziarah serta perbincangan bersama Perdana Menteri di Shah Alam pada 18 Julai, selain menyertai program Malaysia Bermunajat di Masjid Putra, Putrajaya.
Turut hadir menyemarakkan muzakarah ialah Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom, yang membacakan resolusi program serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Amidi Datuk Abdul Manan dan Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Zamri Zainal Abidin.