Guru Rempuh Dua Pelajar Direman Dua Hari

KOTA BHARU: Seorang guru wanita berusia 57 tahun direman selama dua hari bermula hari ini selepas dipercayai merempuh dua pelajar di hadapan surau sekolah sehingga mengakibatkan seorang pelajar Tingkatan Satu maut pada Ahad.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Muhammad Izzat Wan Abdullah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media sebelum ini melaporkan, kejadian berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas sekitar pukul 1.50 tengah hari, melibatkan sebuah kereta yang dipandu guru berkenaan.

Dua pelajar perempuan menjadi mangsa, seorang daripadanya meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, manakala seorang lagi cedera parah dan kini dirawat di hospital.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati pemandu wanita itu dipercayai tertekan pedal minyak sehingga kenderaan terbabas lalu melanggar kedua-dua pelajar.

Anda Mungkin Berminat