Guru Tadika Terkejut, Lukisan Murid Ada Unsur Kekerasan

Oleh: Hanim Nadia

TULAR di media sosial baru-baru ini di mana seorang guru tadika, Farini Aurani berkongsi kisah seorang anak muridnya berusia enam tahun melukis lukisan yang menggambarkan emosi dirinya terhadap kekerasan.

Menurut perkongsian itu, dia bertanya kepada murid tersebut mengapa lukisannya hanya menunjukkan separuh badan dan kepala.

Murid tersebut menjawab, “Watak dalam lukisannya telah dipotong kerana melakukan kejahatan”.

Guru tersebut bertanya lanjut, “Mengapa perlu dipotong?”. Murid itu menjawab, “Sebab dia jahat ‘teacher’ (cikgu). Dia rampas perempuan dalam cerita tu. Bila orang jahat kita kena kerat potong-potong la dia”.

Terkejut dengan jawapan yang diberikan, guru tersebut bertanya pula kepada anak murid yang lain jika lukisan itu ada di dalam mana-mana rancangan kartun.

Menurut murid-murid lain, mereka mendapat idea tersebut daripada kartun dan permainan video seperti ‘Skibidi Toilet’.

Justeru itu, guru tersebut menasihati ibu bapa untuk memantau rancangan dan permainan yang ditonton oleh anak-anak mereka.

“Dunia dah semakin teruk, anak-anak belajar bunuh membunuh hanya daripada kartun. Mari kita pantau apa yang anak-anak tonton dan permainan mereka main,” katanya.

Untuk makluman pembaca, Skibidi Toilet adalah siri animasi web yang dicipta oleh Alexey Gerasimov dan dimuat naik di saluran YouTube.

Siri ini mengisahkan perang fiksyen antara tandas berkepala manusia dan watak humanoid (makhluk yang struktur tubuh serupa seorang manusia) dengan peranti elektronik sebagai kepala.

Anda Mungkin Berminat